AKTIVITI KEBAJIKAN: Organisasi Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita
• Secara ringkasnya, Organisasi Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita adalah bernaung di bawah Biro Wanita JKKK Usaha Jaya. Unit ini mula bergiat aktif sejak penubuhan JKKK pada tahun 2003.
• Sepanjang penubuhan tersebut, unit ini telah menganjurkan aktiviti yang pasti mendapat sambutan dikalangan wanita khususnya kaum ibu. Berikut antara aktiviti yang pernah dan masih dijalankan;
a. Kursus Jahitan Langsir Seliaan Puan Hjh. Sariah Hj. Basar pada tahun 2006. Penyertaan seramai 15 orang. Kursus diadakan selama 3 hari dengan pendedahan kepada 5 jenis langsir yang boleh mendatangkan pulangan yang lumayan kepada kaum wanita untuk memulakan perniagaan dari rumah.
b. Kursus Fardhu Kifayah iaitu kursus Pengurusan Jenazah. Penyertaan seramai 38 orang dan kursus ini dijalankan di Madrasah Kg. Usaha Jaya. Program diadakan pada tahun 2006
c. Usrah Mingguan – majlis mendalami ilmu agama ini diadakan pada setiap hari minggu yang bergilir dari rumah ke rumah setiap ahli yang menyertai. Konsep bertandang ini mewajibkan kepada setiap ahli untuk membawa juadah masing-masing bagi meringankan beban tuan rumah. Majlis ilmu ini akan dibimbing oleh para ustaz dan ustazah yang bertauliah bagi menjawab dan membincangkan sebarang permasalahan agama. Program ini di anjurkan sepanjang tahun.
d. Kelas Masakan – Bimbingan Jabatan Pertanian Daerah Kinabatangan. Kelas ini diadakan pada setiap hari Selasa di Bilik Gerakan Biro Wanita. Pendedahan kelas ini adalah bertujuan untuk menimbulkan minat di kalangan wanita bagi menubuhkan Kumpulan Tani Wanita Maju bimbingan Jabatan Pertanian untuk menghasilkan 1 produk 1 kampung.
e. Kelas Kraftangan – Bimbingan Jabatan Pertanian Daerah Kinabatangan. Kelas ini diselangselikan dengan kelas masakan yang mendedahkan para kaum wanita untuk meminati bidang kraftangan. Anyaman daripada surat khabar lama yang dibentuk menjadi bakul telah menjadi pilihan para kaum wanita untuk menjadikannya sumber pendapatan.
f. Kursus Jahitan Manik dan Labuci – Anjuran Biro Wanita bersama Perpustakaan Desa Daerah Kinabatangan. Kursus ini telah dianjurkan pada tahun 2008 dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Disaat kegilaan jahitan manik dan sulam menjadi trend, peluang tidak dilepaskan oleh para wanita untuk mendalami ilmu ini.
g. Program Kelas Tahmir Masjid At-Taqwa. Sehingga ke hari ini, seramai 50 orang kaum wanita telah mengikuti program kelas tahmir yang diadakan pada setiap hari Rabu dan Khamis. Program ini merupakan program pengisian membaiki sebutan dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran di samping mendalamkan lagi pemahaman terhadap agama Islam. Program ini aktif dijalankan sehingga ke hari ini.
h. Kursus Jahitan Manik dan Sulam anjuran Kementerian Pembangunan Wanita. Kursus ini dinamakan Kursus Jari Bestari. Seramai 25 orang wanita telah menyertai kursus ini dan bagi peserta yang pernah mengikuti kursus jahitan manik dan labuci sebelum ini, kursus ini merupakan pemantapan. Hasil daripada penganjuran kursus ini, jahitan manik dan labuci telah menjadi sumber pendapatan tambahan sepanjang bulan Ramadhan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2009. Kursus telah diadakan pada 17, 18 dan 19 Ogos 2009.